Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Utusan Malaysia > Legenda Jalan Ampas yang semakin dilupakan
Legenda Jalan Ampas yang semakin dilupakan
Utusan Malaysia | 10 Mar 2009


DALAM buku Jejak Terbilang tulisan wartawan hiburan veteran, Aimi Jarr, beliau merumuskan betapa kegemilangan seniman dan seniwati Jalan Ampas bertitik tolak daripada kesungguhan mereka dalam berkarya.

Kata penulis itu juga, dahulu, bakat dalam seni lakon lahir secara semulajadi dan dikembangkan secara amali.

Aimi yang melihat dari dekat perkembangan filem Melayu ketika itu berpendapat, sebab yang mendorong pelakon-pelakon dahulu muncul sebagai bintang tersohor adalah kerana lakonan bagi mereka bukan sahaja menjadi periuk nasi, sebaliknya menjadi darah daging dan sebati dengan jiwa mereka.

Berdasarkan apa yang dirumuskan Aimi, maka ia jelas memperlihatkan seniman dan seniwati zaman itu mempunyai kesungguhan ketika berkarya.

Bahkan, mereka juga meminggirkan segala kekurangan khususnya berhubung aspek teknologi, 'mengabaikan' aspek pembayaran gaji lakonan yang boleh disifatkan sebagai kecil dan sebagainya hanya semata-mata kerana minat yang mendalam.

Hasilnya, filem-filem Melayu era P. Ramlee, Sarimah, Jins Shamsuddin, Aziz Sattar, Neng Yatimah dan Mustapha Maarof (sekadar menyebut beberapa nama) berjaya meletakkan mereka di kelas tersendiri.

Namun begitu, sejauh mana apresiasi kita terhadap seni lakonan tinggalan mereka?

Cukupkah penghargaan yang kita berikan kepada veteran-veteran yang suatu ketika dahulu pernah menghiburkan kedukaan kita?

Atau apa yang paling utama, masihkah kita kenal wajah dan mampu mengingati lakonan-lakonan mereka?

Jika ada yang masih menjadikan mereka sebagai rujukan, maka bertuahlah seniman dan seniwati itu.

Sebaliknya, jika generasi muda sudah semakin melupakan mereka, maka berdukalah mereka.

Untuk itu, kami bawakan senarai antara seniman dan seniwati era Jalan Ampas yang semakin kita lupakan.

Hasrat kami, kita akan terus berusaha mengangkat khazanah tinggalan mereka ke satu kedudukan yang paling tinggi.



  Related Article
Aimi Jarr wartawan di gelanggang seni
Bantu kembang seni negara
Bukan sekadar sahabat
Belasungkawa Aimi Jarr (1939 - 2011): Perginya pakar rujuk bintang lama
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.