Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Utusan Malaysia > Cangkung untuk untung
Cangkung untuk untung
Utusan Malaysia | 28 Nov 2010


Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

Interaksi antara manusia dan makhluk halus menyuntik rasa lucu.

FILEM Ngangkung sarat dengan tauladan dan pengajaran buat pengamal perbuatan syirik. Kupasan akibat perbuatan tersebut disandarkan kepada tiga peranan utamanya iaitu Shaheizy Sam yang melakonkan watak Azim, Azad Jasmin (Tasnim) dan Angah Raja Lawak (Wan).

Tiga sekawan ini yang mencorakkan amalan yang masih menjadi kegemaran kebanyakan orang kampung yang mencari jalan mudah untuk senang. Memuja sesuatu untuk dijadikan tangkal atau azimat sebagai jalan mudah untuk menikmati kemewahan hidup di dunia.

Meski pun kebanyakan paparan berlatarkan suasana desa, namun tidak bermakna kebiasaan itu jarang dipraktikkan di kalangan warga bandar. Pengarah Ngangkung, Ismail Hasim, 34, yang mesra dipanggil Bob itu sengaja mencari mood kawasan bandar agar lebih realistik dan berkesan di hati penonton.

“Saya buat filem ini bukan untuk mengajak orang bandar untuk turut sama duduk bertinggung memuja nombor ekor di mana-mana lokasi. Pembuatan filem ini semata-mata untuk memberi penjelasan kepada masyarakat tentang akibat dalam jangka masa panjang sekiranya ia terus diamalkan.

“Paparan perbuatan tidak sihat itu hanya dipaparkan pada awal 30 hingga 40 minit filem ini. Bahkan semua mantera, lokasi dan syarat-syarat pemujaan itu adalah di lokasi yang sebenar,” katanya yang memilih Kuala Selangor, Selangor untuk penggambaran filem itu. Lelaki yang berpengalaman lebih 18 tahun dalam bidang pengarahan ini juga menolak dakwaan sesetengah pihak mengaitkan dirinya dalam usaha penyebaran perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam itu.

Katanya, Ngangkung bersih dari sebarang pemotongan dari pihak Lembaga Penapisan Filem (LPFM) yang diklasifikasikan sebagai 13PG. Tiada tujuan untuk mengajak orang ramai turut sama menjadi hamba `ekor’ atau sebaliknya. Banyak orang muda terjebak dengan aktiviti cangkung ini dan tidak menyedari kesan panjang dari melakukan perbuatan berkenaan.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.8 juta itu memaparkan Azim, pemandu lori sentiasa diperlekehkan oleh isteri, Suri (lakonan Eira Syazira) yang mendesak agar dia mengubah nasib demi anak mereka, Wahida (Farisya Fatin). Menerusi Tasnim dan Wan, Azim belajar cara mudah untuk memperoleh wang dengan cara ngangkung. Kemenangan dek terkena nombor ekor menyebabkan tiga sekawan ini semakin rancak mendapatkan dukun untuk mendapatkan nombor.

Nasib Azim berubah selepas mengalami satu kejadian aneh di sebuah kawasan hutan yang menyebabkan hidupnya menjadi senang. Bagaimanapun ada perkara pelik yang berlaku buka sahaja buat dirinya, malah turut terjadi kepada dua sahabatnya itu. Kesudahan Azim, Tasnim dan Wan hanya diketahui setelah anda menonton Ngangkung di pawagam berdekatan bermula 25 November ini.

 



Related Profile

 Ngangkung   Shaheizy Sam   Azad Jasmin   Angah Raja Lawak   Eira Syazira   Echa 
  Related Article
Kutipan Filem Merosot
Hantu Kak Limah Mengamuk Lagi
Nongkrong Bukan Sekuel Ngangkung
Masih Kuat Bekerja
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.