Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Utusan Malaysia > Barangan Antik Imbau Nostalgia Jins
Barangan Antik Imbau Nostalgia Jins
Utusan Malaysia | 23 Jul 2011


Oleh ABD. AZIZ ITAR

FILEM-filem lama termasuklah Bukit Kepong yang diarahkannya pada tahun 1970-an masih disimpan.


PADA usia 75 tahun, Tan Sri Jins Shamsudin masih sihat dan aktif berlakon filem dan drama. Dia adalah anak filem veteran yang masih hidup dalam bidang lakonan. Insan seni kelahiran Taiping, Perak itu sehingga kini masih aktif berlakon mahupun mengarah filem. Pemilik nama sebenar Zain Shamsudin ini juga boleh dikategorikan bertaraf legenda dalam dunia lakonan tanah air. Istilah antik dan legenda adalah sinonim dengan pelakon yang berkarisma tinggi ini, sama juga dengan hobinya sebagai pengumpul barang-barang antik.

Sebab itu, Jins yang mula berlakon dalam filem Anakku Sazali pada tahun 1956 bukan setakat dibariskan sebagai bintang legenda tetapi hobinya mengumpul barangan lama juga saling berkait rapat dengan perjalanan hidupnya. Barangan antik sangat dekat dalam hidupnya. Menurut anak bongsu daripada empat beradik ini, barangan lama terutama yang membabitkan dunia lakonan mampu menyegarkan minda dan nostalgianya.

Justeru, dia tidak sanggup membuang semua barangan lama miliknya biarpun ia tidak boleh digunakan lagi. "Saya mempunyai banyak koleksi barangan lama seperti 35 buah kamera, 10 balang duit syiling satu sen dan filem-filem arahan saya seperti Bukit Kepong yang masih saya simpan di Studio Panca Delima milik saya. Walaupun ada yang tidak boleh digunakan tetapi saya masih menyimpannya.

"Saya sayang mahu membuangnya kerana semua itu boleh mengembalikan nostalgia buat saya. Malah, saya juga masih menyimpan 15 buah kereta lama seperti Ford, MG dan Volkswagen yang pernah saya gunakan suatu ketika dulu. Ia adalah barangan berharga milik peribadi saya. "Selain menyimpan barangan antik, semua barangan itu juga boleh digunakan sebagai prop dalam filem atau drama dalam genre sejarah yang hendak diterbitkan pada masa depan," katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Studio Panca Delima di Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Biarpun pernah memiliki pelbagai jenis kereta, namun graduan London School of Film di England pada tahun 1970-an ini juga tetap setia dengan nombor plat keretanya iaitu B6 yang digunakannya sejak dulu hingga kini. Nombor itu juga begitu klasik di kalangan kereta miliknya. Katanya, pernah ada individu yang menawarkannya RM200,000 bagi membeli nombor plat kereta itu, namun dia belum tergerak hati untuk menjualnya. Sebaliknya, nombor itulah yang terus digunakannya pada kereta jenis Mercedes Benz miliknya kini.

"Selain 15 buah kereta lama yang masih saya simpan di Studio Panca Delima, tiga buah lagi ada di Changkat Jering, Perak. Bagaimanapun, pada tahun 1970-an saya pernah menjual lima kereta milik saya pada ketika itu untuk menampung belajar di England," ceritanya. Ekoran terlalu banyak barangan berbentuk khazanah dalam dunia perfileman miliknya, dia telah menyumbangkan sebahagian daripadanya kepada Galeri Perfileman milik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Jelas Jins, 70 peratus bahan-bahan pameran seperti peralatan perfileman, poster, prop dan maklumat yang terdapat di galeri tersebut adalah miliknya. Beliau ingin menyumbangkan lebih banyak barangan lama miliknya tetapi galeri itu tidak mencukupi ruang untuk menampungnya. "Kalau dikumpulkan semua barangan berkaitan perfileman milik saya sekarang ini, muatannya lebih daripada dua lori besar. Jumlahnya dianggarkan mencecah RM3 juta. Saya pun tidak tahu hendak letak di mana lagi. Semua barangan itu memang boleh mengimbas nostalgia saya.

"Tetapi adalah lebih baik kalau semua barangan antik milik saya itu dapat dipamerkan kepada orang ramai. Saya ada impian mahu membuka galeri saya sendiri tetapi ia belum ada perancangan rapi lagi. Diharap pihak kerajaan boleh membantu saya ke arah itu," ujarnya. Biarpun pada usia emas tetapi bidang lakonan dan pengarahan belum luntur dalam jiwanya. Jins kini sedang dalam persiapan untuk mengarahkan filem terbarunya berjudul Pasir Salak yang menelan kos produksi dan promosi mencecah RM8 juta. Ia adalah sebuah filem sejarah.

Beliau kini sedang mengumpul modal bagi meneruskan penggambaran filem itu yang tergendala sejak hampir sedekad lalu. Filem yang berkisar tentang sejarah di Negeri Perak merupakan projek terbesar dalam pembabitannya sebagai pembikin filem. "Saya memerlukan lagi RM5 juta untuk menerbit dan mengarah filem itu yang akan dijalankan sekitar Matang, Larut, Taiping dan Ipoh, Perak pada tahun depan. Saya harap ia dapat disiapkan sebelum saya mengakhiri kerjaya saya dalam bidang ini," tuturnya penuh makna.

 



Related Profile

 Jins Shamsudin   Anakku Sazali    Bukit Kepong 
  Related Article
Mariani Cerita Petua Kekal Sihat Dan Tidak Pernah Minta Bayaran
Hidup Mati Untuk Finas
Rais Serah Sumbangan RM5,000 Kepada Jins Shamsuddin
Tayangan Perdana Filem Jins Shamsuddin Bagi Kenang Jasa - Rais Yatim
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.