Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Kosmo > Cerita Anak Jantan
Cerita Anak Jantan
Kosmo | 07 Apr 2013


PASUKAN Langgar yang diwakili oleh Nam Ron, Sein dan Adi Putra itu mahu gengsterisme Langgar tidak difokuskan untuk mencari kelainan tetapi jalan cerita yang bervariasi karakter.

BERMAIN dengan darah, kayu pemukul, pedang samurai, penyepak dan penumbuk, itu antara elemen yang wajib ada dalam sesebuah filem aksi. Menyerap zat gengsterisme, fokus kepada dendam, imej kejantanan, emosi dan pertarungan, semua itu dibulatkan dengan sebuah tragedi dan terhasillah Langgar.

Dalam Langgar, ada kematian sia-sia namun ada juga yang menuntut darah sebagai bayaran. Secara kasar, tiada bezanya buah tangan Syed Hussein Syed Mustafa itu berbanding filem-filem genre aksi atau gangsterisme yang pernah dihasilkan oleh pembikin terdahulu.

Namun, di sebalik judul yang menjadi filem sulungnya itu, bekas anggota kumpulan Ruffedge yang lebih dikenali sebagai Sein itu menambah nilai kreatifnya dengan membawa masuk lelaki-lelaki penuh aura. Nam Ron, Khir Rahman, Hans Isaac dan Zul Huzaimy dipilihnya sebagai penegak kejahatan dan Adi sebagai pembasuh dendam. Antagonis dan protagonis disatukan dan mengalirkan Langgar sebagai sebuah naskhah anak jantan.

Kunci karakter

Terlibat dalam penulisan dan pementasan teater indie bernada garang serta filem-filem pendek yang berbaur protes antaranya Gedebe dan Gadoh. Dia bahkan pernah menyandang gelaran hero filem sejarah perang zaman komunis bertajuk Paloh.

Dalam kalangan pengamal teater kecil, Nam Ron dikenali kerana sifat lantang dan berani. Dalam erti kata yang lain dia antara ‘gengster’ dalam bidang yang diterokai sejak tahun 1989 itu. Lalu terjebak dalam sebuah filem arus perdana sebagai gangster yang digeruni, pengalaman itu mungkin satu cabaran atau peralihan baharu untuk Nam Ron.

Apatah lagi, kali ini dia bekerja menterjemah pemikiran Sein, pengarah yang baru setahun jagung duduk di kerusi pengarahan.

MASIH dirujuk sebagai bekas anggota Ruffedge, Sein sedar hakikat itu namun dia menegaskan kecenderungannya terhadap pengarahan filem tidak datang secara tiba-tiba.

"Cabaran memang ada setiap kita bekerja dengan mana-mana pengarah. Paling penting ialah proses untuk mendapatkan dan mengunci karakter seperti yang dibayangkan oleh skrip dan kehendak pengarah. Bila semua sudah jelas, hubungan antara karakter dengan karakter yang lain sudah ada dalam kepala, kerja seorang pelakon itu jadi mudah," beritahu Nam Ron yang menyifatkan tugas melakonkan karakter yang besar lebih mudah berbanding melakonkan karakter yang kecil dan lemah.

Kelemahan Nam Ron cuma satu, dia bukannya seorang pelakon filem aksi dan tiada asas seni bela diri.

"Kelemahan utama saya ialah kelemahan motor dalam tubuh, saya ada masalah dengan pergerakan atau menghafal koreografi. Jadi, semasa penggambaran, saya hanya boleh hafal satu hingga tiga pergerakan sahaja," ujar Nam Ron ketawa sambil menyifatkan Langgar sebuah kolaborasi padu.

"Berkerja dengan kawan-kawan itu seronok sebab kami sudah ada keserasian. Kalau berlakon dengan pelakon yang tidak begitu dikenali, kita boleh jadi kekok," tambahnya.

Memuji dengan cara kerja Sein yang dilihatnya berapi-api, kegilaan sebegitu pernah dilaluinya sewaktu berkarya pada usia muda dahulu.

"Saya nampak Sein dah macam psiko sangat dengan kerjanya. Sebab itu saya ambil dia berlakon dalam filem arahan saya, Psiko: Pencuri Hati yang akan tayang mungkin Ogos nanti," cerita Nam Ron.

Manipulasi Adi

Pesona Adi Putra sebagai bintang filem aksi terlihat ketara dalam karakter Jai menerusi filem KL Gangster. Menerusi Langgar, awalnya Adi yang melakonkan watak Nizam diberi sebuah kehidupan yang sempurna. Kemudian, masa depannya dibunuh dan dirampas kejam. Dari situlah seorang lelaki budiman berubah menjadi antagonis.

Menghidupkan semula Adi yang berhati kering dan menjual aksi untuk tatapan peminat, hitam putih Nizam yang menjadi permainannya memperlihatkan kelainan.

"Ikut rumusan saya, manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk kepuasan. Apa yang membezakan tindakannya itu sama ada ia berlandaskan akal atau nafsu.

"Dalam Langgar, Nizam memilih nafsu. Dalam hendak mencapai matlamatnya, saya tidak nampak sangat sisi hitam Nizam kerana daripada kaca mata luaran, dia masih ada sifat budiman. Itu karakter yang membezakan Nizam berbanding Jai dalam KL Gangster," lentur Adi yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri berjudul Teduhan Kasih di Pulau Perhentian, Terengganu.

Menjadi hero yang seakan-akan antihero dalam sebuah filem yang menjadikan pertarungan kepada kunci keseronokan itu, gaya anak jantan sengaja dipersoalkan.

"Secara kasarnya memang filem itu sangat lelaki tapi saya melihat Nizam lebih kepada manipulasi yang berstrategi. Aspek itu tersembunyi, yang ditonjolkan cuma keganasan.

"Saya ambil pendekatan positif. Walaupun dia bertukar menjadi negatif tapi asalnya dia bermula dengan positif. Saya lihat gengsteris Nizam lebih kepada kelicikan. Dalam satu sisi yang lain, Nizam seorang antagonis yang jelas motifnya. Ya, dia ada sifat antihero," tegas Adi yang percaya bahawa sebuah filem masih sebagai ejen hiburan walaupun seringkali dihambat isu tentang moral dan mesej.

Suratan Sein

ADI PUTRA menyifatkan Nizam seorang protagonis yang licik.

Kelayakan Sein untuk bergelar pengarah filem bukan persoalan utama. Diterima sebagai pengarah oleh pelakon yang terdiri dalam kalangan pengkarya seperti Hans, Zul, Khir dan Nam Ron boleh difikirkan sebagai alasan kukuh untuk Sein diberi kepercayaan sebagai pengkarya seni.

Memilih genre aksi sebagai produk sulungnya, Sein juga punya alasan berbuat demikian.

"Saya memang suka filem aksi. Salah sebuah filem yang saya suka ialah Lock, Stock and Two Smoking Barrels oleh Guy Ritchie dan saya terinspirasi dengan filem berkenaan semasa hendak menghasilkan Langgar. Saya sukakan permainan karakter yang difokuskan Guy Ritchie dalam filem itu.

"Secara asasnya juga, filem juga sebahagian daripada jiwa pengarah. Mana-mana pengarah pun sama. Dua tahun lalu saya buat Langgar, mungkin pada masa sekarang ini kecenderungan saya bukan lagi filem aksi," katanya sambil diperakui oleh Nam Ron bahawa karya sebagai cerminan jiwa pengkarya itu sendiri.

Menjurus dan menadahkan kepada elemen maskulin dalam filem aksi perdananya, jelas Sein yang menimba ilmu secara teori dan praktikal hidup di London menjelaskan bahawa sesebuah naskhah itu akan mempamerkan dalaman seorang pengarah.

Jika khalayak masih mengaitkan sejarah Sein yang bermula dengan bergelar pengacara dan menyanyi kemudian menjadi sutradara, sungai hidupnya memang bercabang seni.

"Saya minat menyanyi dan apabila ditawarkan menjadi salah seorang anggota Ruffedge, saya terima. Tetapi selepas itu saya mendalami ilmu lakonan dan pengarahan di London School of Film. Saya belajar pelbagai termasuk erti kehidupan di luar. Melihat budaya dan gelagat yang berbeza," jelasnya yang bukan masuk dunia pengarahan dengan hanya niat yang kosong.

"Sejak kecil lagi saya sudah menyewa video filem dan tonton. Itu kecenderungan saya. Sejak belasan tahun juga saya sudah melihat sesebuah produk lakonan daripada mata pengarah. Cuma masa yang menentukan dan kini saya dapat menjawat tugasan sutradara yang telah lama saya inginkan," senyumnya yang menegaskan bahawa melihat dan memikul tanggungjawab pengarah adalah dua hal yang sangat berbeza.



Related Profile

 Langgar   Sein Ruffedge   Namron   Khir Rahman   Hans Isaac   Zul Huzaimy    Adi Putra 
  Related Article
Langgar Kekejaman Luar Batasan
Sein Berasa Lega Langgar Kutip RM1.5 Juta
Langgar Catat RM110,000 Hari Pertama Tayangan
Langgar: Lain Dari Lain!
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . © 2012 All Rights Reserved.