Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Kosmo > Awal Tak Kisah Scha, Fahrin Bergandingan
Awal Tak Kisah Scha, Fahrin Bergandingan
Kosmo | 28 Feb 2013


Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

SCHA bersama Barry (tengah) dan Chris pada majlis menandatangani kontrak pelantikan sebagai duta SNE Marketing di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SEJAK putus cinta hampir empat tahun lalu, pelakon cantik Scha Al-Yahya atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 30, tidak pernah lagi bergandingan bersama pelakon bertubuh sasa, Fahrin Ahmad dalam produksi filem yang sama.

Sebelum ini mereka pernah bergandingan bersama sebagai hos program Sehati Berdansa bersama-sama suami Scha iaitu Awal Ashaari. Bagaimanapun Scha yang ditemui Kosmo! pada majlis menandatangani kontrak pelantikan sebagai duta produk kecantikan SNE Marketing di Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui dia bakal berlakon buat julung-julung kalinya bersama Fahrin.

Scha dan Fahrin bakal ke set penggambaran drama untuk slot Cerekarama, TV3, berjudul Lady Gagah.

Apakah cerita sebenarnya dan ikuti luahan hati Scha yang mengakui tiada masa bermesra bersama suaminya kerana kesibukan dirinya sebagai pelakon, pengacara dan juga duta produk.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Scha yang kelihatan cukup anggun pada majlis yang turut dihadiri pengarah urusan SNE Marketing, Datuk Seri Barry Cheng Teik dan seorang lagi duta SNE Marketing, Chris Tong Bing Yu.

Kosmo!: Apakah reaksi Scha apabila diberitahu bakal berlakon di samping Fahrin?

SCHA: Mula-mula bila diberitahu bakal berlakon bersama Fahrin, mulut saya terus cakap ‘Alamak’.

Kenapakah reaksi Scha begitu sekali? Scha tidak sudikah berlakon bersama Fahrin?

Itu reaksi spontan saya. Sebenarnya, saya tidak ada masalah berlakon bersama dia (Fahrin).

Bilakah penggambaran drama tersebut bermula?

Insya-Allah penggambaran drama Lady Gagah itu akan bermula hujung bulan Mac ini.

Apakah watak yang akan dibawa Scha dan Fahrin? Adakah sebagai pasangan kekasih?

Tidak. Saya akan bawa watak sebagai adik kepada Rozita Che Wan sebagai pelakon utama Lady Gagah manakala Fahrin akan bawa watak lelaki yang gagah.

Adakah ini drama gandingan pertama kali anda dengan Fahrin?

Sebelum ini kami juga ada ditawarkan berlakon filem yang sama tetapi projek itu tidak menjadi.

Bagaimanakah reaksi Awal apabila mendapat tahu Scha bakal berlakon bersama Fahrin?

Awal tak kisah. Dia tidak pernah melarang saya untuk berlakon atau mengacara bersama Fahrin.

Selain drama Lady Gagah, apakah perkembangan terbaharu mengenai Scha?

Saya baru habis penggambaran drama Jodoh di Astro Ria. Sekarang ini, saya sedang menjalani penggambaran telemovie Hero Malaya untuk Astro Warna. Kemudiannya, saya bakal ke set penggambaran Lady Gagah. Pada setiap minggu pula, saya akan mengacarakan Muzik-Muzik. Tahun ini juga dua buah filem saya akan ditayangkan iaitu Awan Dania The Movie pada bulan Mac dan juga filem Papadom 2 juga bakal menyusul di pawagam.

Scha juga baru sahaja dilantik sebagai duta produk kecantikan SNE Marketing. Berapa lamakah kontrak Scha sebagai duta produk kecantikan itu?

Saya sudah ikat kontrak sebagai duta produk ini tiga bulan lalu untuk tempoh selama setahun. Sebenarnya, saya lebih kepada duta untuk produk SNE iaitu Beutskin Essence.

Bagaimanakah pula tugas anda sebagai duta produk kecantikan Bio Essence, adakah sudah tamat?

Tidak. Saya masih duta Bio Essence dan bakal disambung untuk setahun lagi. Saya sudah menjadi duta produk itu selama empat tahun. Saya juga sambung kontrak setahun lagi untuk produk Avon.

Tidak timbul masalahkah apabila Scha menjadi duta untuk dua produk kecantikan yang berlainan?

Produk Bio Essence lebih kepada penjagaan kulit manakala SNE lebih kepada penjagaan dalaman untuk tenaga dan kecergasan minda.

Berapa lamakah Scha sudah menggunakan produk ini dan apakah perbezaan yang dialami?

Saya diberi percubaan selama tiga bulan untuk makan produk ini dan melihat keberkesanannya. Alhamdulillah, selepas enam bulan makan, saya lebih bertenaga dan tidak lagi rasa letih dan mengantuk biarpun sepanjang hari di set penggambaran.

Bagaimanakah Scha membahagikan masa berlakon, mengacara, menjadi duta dan tugas sebagai isteri?

Saya akui terlalu sibuk sehinggakan tiada masa untuk bermesra bersama Awal. Saya cuma dapat bercakap selama 10 minit sahaja dengan Awal sebelum tidur. Bila bangun pagi, dia atau saya sudah keluar bekerja.

Bagaimanakah perancangan untuk menambah ahli keluarga jika anda berdua terlalu sibuk?

Kami tidak merancang. Jadi kami tidak terlalu mencuba untuk mendapatkan anak.



  Related Article
Dampak Bukan Sekadar Filem Aksi
Advertorial - Debaran menjelang Anugerah Lawak Warna
Anugerah Blokbuster: Malam Hantu Kapcai
Anugerah Blokbuster: Sofi Jikan Penjahat Terhebat!
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.