Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Harian Metro > Musang Berjanggut Versi Moden
Musang Berjanggut Versi Moden
Harian Metro | 23 Mar 2010


Oleh Ramlah Zainal

KARYA Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee masih mendapat tempat di hati penonton tempatan, sampai hari ini. Antara karyanya yang masih segar diingatan peminat ialah filem Musang Berjanggut yang turut dilakonkan P Ramlee sendiri. Justeru, bagi mengimbau nostalgia filem legenda itu, JS Pictures tampil dengan drama bersiri terbarunya, Bila Musang Berjanggut yang pastinya mencuit hati penonton. Cerita Musang Berjanggut versi moden ini membabitkan 20 episod dan diarahkan Azman Yahya atau Jinggo.

Secara peribadi, Jinggo berkata, dia peminat setia P Ramlee dan sentiasa mengagumi karyanya sejak dulu. Katanya, Bila Musang Berjanggut adalah adaptasi daripada filem Musang Berjanggut dan diberi nafas baru untuk menjadikan jalan ceritanya lebih menarik. "Saya juga suka dengan inti pati cerita Bila Musang Berjanggut kerana perjalanan ceritanya tidak konsisten kerana diselitkan dengan elemen komedi dan sedih didalamnya. Selain itu, ia juga slot legenda pertama yang tampil dengan genre komedi di TV3. "Saya dapat idea buat cerita ini daripada rakan yang bekerja di TV3. Selepas dapat idea itu, saya terus berbincang dengan penulis skrip, Sofia Rhyland.

Jalan cerita asalnya masih sama dengan filem Musang Berjanggut. Cuma kami selitkan elemen komedi dan elemen daripada filem P Ramlee yang lain seperti Madu Tiga. "Apa yang penting, cerita ini adalah wajah Melayu dan pihak kami selitkan konsep 1Malaysia dalam cerita ini selaras seruan kerajaan," katanya ketika ditemui ketika pratonton Bila Musang Berjanggut di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini. Selaku pengarah, Jinggo berkata, pihaknya juga berhadapan cabaran untuk menjayakan drama berkenaan. Penggambaran Bila Musang Berjanggut membabitkan 50 hari bermula awal Disember tahun lalu di lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Port Dickson.

"Antara cabarannya ialah bekerja dengan pelakon yang bukan komedi seperti Sahronizam Nor dan Fizo. Saya juga perlu beri peluang pada mereka. Siapa sangka, pelakon serius seperti Sahronizam dan Fizo boleh buat cerita komedi. Secara keseluruhannya, saya puas hati dengan lakonan semua yang terbabit dalam cerita ini. "Saya juga hanya buat yang terbaik dan selagi pelakon itu tidak dapat menjiwai wataknya, dia perlu buat wataknya sehingga berjaya. Saya yakin peminat P Ramlee pasti terhibur dengan rangkaian lagu kompilasi yang diselitkan dalam drama itu.

"Apa yang menarik, drama ini membabitkan hampir 23 lagu P Ramlee yang digubah semula. Setiap episod juga ada empat lagu yang diselitkan di dalamnya. Saya percaya, penonton akan merasai zaman P Ramlee apabila mendengar lagu berkenaan. "Apabila anda menonton cerita ini, kita akan dapat tahu apa sebenarnya yang nak disampaikan P Ramlee dalam filem Musang Berjanggut. Contohnya, dalam dialog, 'Kita perlu seorang isteri dan bukan bini dan kita nak cari perempuan dan bukan betina'. Menurut kajian juga, filem P Ramlee mengambil idea daripada filem Hindustan," katanya.

Sementara itu Fizo berkata, dia terima tawaran berlakon dalam cerita itu kerana sangat mengagumi karya P Ramlee sejak kecil lagi. Dalam Bila Musang Berjanggut, Fizo membawa watak yang pernah dilakonkan P Ramlee dalam filem Musang Berjanggut dan Anak Bapak. "Watak Ashraff sangat menarik kerana dia perlu mencari calon isteri dalam tempoh 100 hari seperti dikehendaki bapanya. Saya juga sudah buat yang terbaik untuk watak Ashraff mengikut kemampuan saya dan seperti dikehendaki pengarah, Jinggo. "Saya juga tidak ada masalah digandingkan dengan pelakon baru seperti Nur Fathia kerana masing-masing berusaha memberikan yang terbaik untuk drama ini.

"Terus terang, cerita ini adalah antara lakonan terbaik saya dari segi skrip, jalan cerita dan pengarahan. Banyak ilmu lakonan yang dipelajari sepanjang bekerja dengan Jinggo dalam drama ini," katanya. Hikayat ini mengisahkan Orang Kaya Jamil berasal dari keluarga berada dan berstatus tinggi. Ayahnya, Tuan Termasyur berpura-pura sakit tenat supaya Jamil pulang ke Malaysia dan berkahwin dengan gadis pilihannya. Tanpa disangka, Tuan Termasyur mengahwinkan Jamil dengan tiga wanita berlainan kaum iaitu Melayu, Cina dan India serentak.

Walaupun begitu, mereka tidak dikurniakan anak kerana Jamil disangka mandul. Anak amat penting bagi Jamil kerana dia bakal mewarisi harta keluarga Tuan Termasyur bernilai berbilion ringgit. Jika tidak, sepupu Jamil, Mamat Trump berhak mendapat harta itu. Pelbagai kaedah perubatan dan cara alternatif dicuba dan akhirnya mereka membuat keputusan untuk mengambil anak angkat. Faridah aka Ferra muncul dalam kehidupan mereka dan berjaya mendapatkan seorang anak yang menepati kriteria Jamil iaitu Ashraff.

Dia ditatang bagai minyak yang penuh dan diberikan pendidikan terbaik termasuk adat dan budaya ibunya. Ashraff boleh bertutur dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil tanpa masalah. Namun, sejak usia 13 tahun, pelbagai ugutan muncul dalam keluarga mereka. Oleh kerana bimbang keselamatan Ashraff, Jamil menghantar Ashraff dan sepupunya Romeo menyambung pelajaran ke luar negara.

Barisan pelakon yang membintangi drama ini ialah Fizo Omar (Ashraff), Nur Fathia (Cempaka), Sahronizam Nor (Orang Kaya Jamil), Sheila Rusly (Faridah/Ferra), Mahmud Ali Bashah, Kuna, Datuk Jalaluddin Hassan (Tuan Termasyur) dan Zaibo. Bila Musang Berjanggut menemui penonton menerusi slot Lagenda TV3 yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang bermula 29 Mac ini.



  Related Article
Bukan P. Ramlee seorang saja
Filem sebagai perakam zaman
Marmar Itali untuk pusara P Ramlee
Di Sebalik Misai A.Galak
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.