Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Harian Metro > Kutipan cecah RM2.3 juta
Kutipan cecah RM2.3 juta
Harian Metro | 21 Feb 2009


SEJAK menjengah lebih 50 pawagam seluruh tanah air bermula 12 Februari lalu, filem animasi 3D pertama negara, Geng: Pengembaran Bermula mendapat sambutan luar dugaan dan setakat ini sudahpun mencecah kutipan sebanyak RM2.3 juta.

Pengarah filem ini, Mohd Nizam Abd Razak, berkata pihaknya juga mensasarkan kutipan filem itu akan mencecah RM4 juta pada hujung minggu ini.

“Sudah pasti pihak kami mengharapkan kutipan filem ini lebih tinggi daripada itu kerana kos filem ini membabitkan RM4 juta. Jualan tiket filem ini di pawagam sekitar Lembah Klang juga mendapat sambutan memberangsangkan. Antaranya di GSC Mid Valley dan GSC One Utama.

“Berdasarkan sambutan hebat daripada peminat itu, pihak kami yakin, filem ini akan mencapai sasaran kutipan RM10 juta dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Mohd Nizam berkata, pihaknya berharap tayangan filem Geng diteruskan sehingga musim cuti sekolah.

“Sebenarnya, pihak kami sudah mula meletakkan sasaran untuk filem itu sejak awal lagi. Kami terbitkan filem yang bagus dan berkualiti, sebab itu kami berani meletakkan sasaran kutipan RM10 juta.

“Ada juga yang bertanya, adakah kami buat ‘kerja gila’ meletakkan sasaran setinggi itu. Bagi kami, ia tidak mustahil dicapai dalam tempoh dua minggu tayangan filem ini. Kami juga ingin buktikan pada semua bahawa kami bukan sekadar cakap kosong saja,” katanya.

Mohd Nizam berkata, kekuatan filem animasi Geng juga dari segi jalan ceritanya.

“Selain itu, dari segi adunan elemen seram, thriller (suspen), dramatik dan lucu yang semuanya dapat dirasai menerusi kesan

bunyi dan suara yang mantap.

“Apapun, kami sedar filem animasi adalah medium yang masih baru di sini. Tapi apa yang boleh kami katakan, filem ini sesuai untuk ditonton seisi keluarga sekaligus menepati citarasa penggemar filem tempatan.

“Hasil maklum balas yang kami terima, filem ini dikatakan setanding dengan produksi Hollywood. Justeru, kami berasa teruja kerana segala penat lelah sepanjang dua tahun setengah dengan kepakaran seramai 40 orang untuk buat filem ini nampaknya berbaloi,” katanya.

Mengenai perancangan untuk membawa filem itu ke luar negara, Mohd Nizam berkata, mengikut perancangan, filem itu akan menyertai Annecy Animation Festival di Annecy, Perancis yang dijadualkan pada Jun nanti.

“Filem ini memang ada peluang untuk menang kerana ia memaparkan keunikan budaya Malaysia sendiri.Selain itu, filem ini akan menemui penonton di Indonesia pada raya nanti.

“Perancangan untuk ke Korea dan India pula masih dalam perbincangan lagi.Tidak ketinggalan, ada pengedar filem di Amerika Syarikat yang berminat untuk mengedarkan filem Geng di sana,” katanya.



Related Profile

 Geng: Pengembaraan Bermula   Nizam Razak 
  Related Article
Isu alam sekitar dalam animasi
Animasi Menyerlah Berbanding Cereka
Animasi bukan sekadar kartun
Laksamana Upin & Ipin Dalam 3D
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.