Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Harian Metro > Industri Filem Makin Galak
Industri Filem Makin Galak
Harian Metro | 13 Mar 2010


Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Industri perfileman tanah air menunjukkan peningkatan sepanjang 2009 bukan hanya menerusi peningkatan jumlah filem dihasilkan, malah kegigihan karyawan meneroka pelbagai genre untuk tatapan penonton. Jika tahun sebelumnya penghasilan filem cereka banyak tertumpu kepada kelompok genre seram, komedi dan cinta, kini muncul genre berbeza.

Karyawan kita membuktikan mampu menghasilkan filem dengan teknologi moden penggunaan imej janaan komputer (CGI) selain minat yang ditunjukkan produser baru yang melihat industri filem mempunyai masa depan yang cerah. Jika 10 tahun lalu penonton hanya berpeluang menyaksikan tidak sampai 10 judul filem Melayu setahun, kini jumlahnya bertambah hampir lima kali ganda. Pada 2009 saja, 26 filem tempatan ditayangkan bermula dengan Maut pada 15 Januari, diakhiri dengan Duhai Si Pari-Pari pada 31 Disember. Filem Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les' Copaque mencatat sejarah bukan saja kerana penggunaan CGI, malah kejayaannya mencatat kutipan lebih RM6.2 juta.

Filem lain yang turut mendapat sambutan ialah Jangan Pandang Belakang Congkak ( RM6.1 juta) dan Bohsia: Jangan Pilihan Jalan Hitam (RM4 juta). Filem Papadom terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan sebuah lagi produk MIG Production, Jangan Tegur turut melakar kejayaan tersendiri apabila masing-masing memungut lebih RM3 juta manakala tujuh judul lain memberikan sedikit keuntungan kepada produser apabila mereka berjaya mengaut lebih RM2 juta sewaktu tayangan.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim berkata perkembangan baik yang dapat dilihat dari industri perfileman tempatan melalui jumlah filem dihasilkan, kutipan mahupun panggung yang menayangkan filem berkenaan. "Tahun 2010 mungkin menyaksikan sehingga 30 judul filem tempatan ditayangkan kepada penonton, manakala penambahan jumlah panggung terutama di pantai timur akan menyemarakkan lagi sambutan orang ramai terhadap filem keluaran syarikat tempatan. "Kami harap perkembangan ini akan berterusan dari semasa ke semasa ke arah memperkasakan filem tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Bagi pengarah, Azizi Chunk Adnan perkembangan industri filem tanah air melihatkan petanda positif dengan wujudnya pelbagai genre baru yang mampu memberi variasi pilihan kepada peminat seni tempatan. "Perkembangan dunia seni tanah air nampak semakin baik dari segi wujudnya penghasilan genre baru. Macam-macam bentuk cerita dihasilkan. Bukan seperti suatu masa dulu terikat kepada satu genre semata-mata iaitu cinta atau seram saja. Kalau kita lihat pembikin filem kini berani menghasilkan genre baru seperti komedi penyiasatan, seram komedi, drama dan lawak slapstik.

"Saya yakin pembikin filem tempatan kini semakin berani menuju ke arah satu cerita yang seakan-akan siri filem cakera ala Hollywood. "Justeru keberanian pembikin filem dalam mencuba menghasilkan sesuatu genre baru perlu diberikan galakan dan sokongan. Pada saya sebagai pembikin filem kita tidak dapat melakukan sesuatu benda jika tidak mencuba," katanya. Secara kasar, pungutan keseluruhan bagi tahun ini berjumlah hampir RM50 juta.

Jumlah itu mengatasi catatan RM43.93 juta yang dilakukan pada 2008. Pada tahun hadapan, dengan jumlah judul hampir sama bakal menemui penonton, pungutan lebih baik dijangka mampu dicapai apabila lebih banyak panggung dibuka. Pembukaan kira-kira enam lagi panggung wayang terutama di wilayah pantai timur yang selama ini ketandusan hiburan dalam bentuk filem, pasti menambah jumlah penonton filem. Sehingga Oktober lalu, sebanyak 98 pawagam beroperasi di negara ini yang menyediakan 489 skrin serta 96,700 kerusi buat kaki filem.

Bagi mengatasi judul antarabangsa seperti filem dari Hollywood dengan bajet ratusan juta ringgit seperti 2012, Transformers dan Avatar mungkin masih menjadi mimpi buat kita. Tetapi, dengan hidangan judul lebih baik, dari segi cerita, kerja teknikal dan genrenya, maka tidak mustahil peluang untuk mencuri perhatian penggemar filem. Jika Geng dan Jangan Pandang Belakang Congkak mampu melakukannya, tiada alasan untuk filem tempatan lain menyerah kalah. Kerjasama lebih erat perlu diperbanyakkan antara pelabur dengan pembikin filem supaya judul lebih menyerlah dapat dihasilkan.

Bagaimanapun, sikap pelabur yang beriya-iya ingin membabitkan diri dalam dunia perfileman, sepatutnya mencari pembikin yang bagus dan bervisi. Dalam sesetengah kes, duit yang dilabur tidak ke mana apabila filem gagal di pasaran dek ketidakupayaan pembikin, yang datang entah dari mana, merealisasikan impian mereka. Malah, ada juga sesetengah pembikin filem mempunyai impian menggunung, tetapi tidak mempunyai dana yang cukup. Lalu, projek filem yang dimulakan akhirnya tersadai.

Antara filem yang gagal memberi keuntungan kepada produser kerana mencatat kutipan kurang dari RM500,000 ialah Sayang U Can Dance, Talentime dan Muallaf. Paling menyedihkan apabila ada filem sekadar mencatat kutipan sekitar RM30,000 seperti Lembing Awang Pulang Ke Dayang terbitan Dayang Digital Sdn Bhd dan Pulau Asmara (Alakazam Production Sdn Bhd). Apa yang lebih penting ketika ini setiap pembikin filem perlu berusaha ke arah meningkatkan mutu penghasilan filem tempatan.

Sebagai pembuka tirai 2010, filem Adnan Sempit mula ditayangkan di pawagam mulai 14 Januari diikuti 2 Hati 1 Jiwa (28 Januari), Lu Fikirlah Sendiri De Movie (11 Februari), Niyang Rapik (25 Februari) manakala pada 11 Mac dua filem ditayangkan serentak sempena cuti sekolah iaitu V3: Samseng Jalanan dan Magika manakala KL Drift 2 pada 25 Mac. Filem lain yang memohon untuk tayangan 2010 ialah Semerah Cinta Stilleto (8 April), Hooperz (22 April) dan Belukar (6 Mei).

Turut menunggu giliran untuk tayangan tahun depan ialah Zoo, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Estet, Senario Asam Garam, Mentera, Aku Masih Dara, Misteri Dendam Balan-Balan, Shh...Dia Datang, Janin, Hilang, Eee.. Hantu, Kantoi, Gentayangan, Seremmm..., Brave (Berani Punya Budak), Jibam The Movie, Taiko, Kecoh Betul, Kapoww!!, Syirik, Johnny Bikin Filem dan Dimensi Cinta.

Kutipan Filem Cereka 2009

Judul Filem/Tarikh tayangan/Kutipan kasar (RM)

Maut/ 15 Januari/1.60 juta
Sifu & Tongga/29 Januari/2.57 juta
Geng: Pengembaraan Bermula/12 Februari/6.20 juta
Rasukan Ablasa/26 Februari/0.82 juta
Jin Hutan/12 Mac/0.23 juta
Sayang You Can Dance/12 Mac/0.37 juta
Talentime/ 26 Mac/0.42 juta
Jangan Tegur/9 April/3.42 juta
Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam/23 April/4.14 juta
Sell Out?/7 Mei/0.16 juta
Syurga Cinta/21 Mei/2.38 juta
Jangan Pandang Belakang Congkak/4 Jun/6.09 juta
Skrip 7707/16 Julai/1.91 juta
Setem/30 Julai/1.27 juta
Jin Notti/20 September/2.05 juta
Momok The Movie/20 September/2.10 juta
Pappadom/8 Oktober/3.40 juta
Lembing Awang Pulang Ke Dayang/22 Oktober/0.09 juta
Pisau Cukur/5 November/2.30 juta
Senario The Movie Episode 2: Beach Boys/19 November/3.10 juta
Jalang/26 November/0.68 juta
My Spy/3 Disember/1.20 juta
Pulau Asmara/17 Disember/0.03 juta
Santau/ 10 Disember/3.36 juta
Muallaf/ 24 Disember/0.04 juta
Duhai Si Pari Pari/31 Disember

Filem untuk 2010

Judul filem/Tarikh

1. Adnan Sempit - 14 Februari
2. 2 Hati 1 Jiwa - 28 Januari
3. Lu Fikirlah Sendiri De Movie - 11 Februari
4. Niyang Rapik - 25 Februari
5. V3: Samseng Jalanan - 11 Mac
6. Magika - 11 Mac
7. KL Drift 2 - 25 Mac
8. Semerah Cinta Stilleto - 8 April
9. Hooperz - 22 April
10. Belukar - 6 Mei



  Related Article
Liyana Berstatus Puan
Liyana Jasmay kalis kutukan
Liyana dampingi Syamsul
Menang lagi
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.