Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Harian Metro > INTERAKSI: 'Presiden mesti jujur'
INTERAKSI: 'Presiden mesti jujur'
Harian Metro | 19 Aug 2009


Oleh ESME JOHARI WAHAB

M Daud menang majoriti pertandingan tiga penjuru mengatasi Malik Ridzuan dan Nasir Datuk Ahmad Nawab pada pemilihan Mesyuarat Agung Papita kali ke-12 di Kompleks Studio Merdeka, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Sabtu lalu. M Daud menerajui Papita sejak sembilan tahun lalu.

Keputusan itu meletakkan Malik menjadi Timbalan Presiden dan Naib Presiden I disandang Johari Mat Rozekhi atau Joey BPR sementara Nasir memikul jawatan Naib Presiden II.Antara matlamat M Daud, 66 tahun ialah meneruskan impian mewujudkan Festival Muzik Etnik Antarabangsa dan mencari bakat baru melalui pertandingan kugiran dan mahu artis memiliki imej lebih berkualiti dan masa depan lebih terjamin.

Ketika dihubungi kelmarin, M Daud mengatakan dia berada di Kota Kinabalu, Sabah untuk berbincang dengan kerajaan Sabah mengenai penganjuran festival yang bakal membabitkan penyertaan rantau Asia Tenggara, Asia Pasifik dan Afrika.Ikuti temu ramah serta pandangan beliau untuk terus meningkatkan reputasi dan imej Papita melalui pelbagai program jangka panjang bersama wartawan Harian Metro, ESME JOHARI WAHAB ([email protected]).

SOALAN (S): Tahniah atas kejayaan Datuk mempertahankan jawatan Presiden. Bagaimana Datuk melihat kejayaan meneruskan perjuangan untuk penggal keempat?

JAWAPAN (J): Syukur ke hadrat Allah SWT kerana ahli Papita masih mahukan kepemimpinan saya. Sebenarnya saya tidak takut jawatan itu diambil orang lain. Malah saya bangga apabila ada calon lain turut berminat bertanding jawatan itu. Malah, Mesyuarat Agung ke-12 untuk memilih ahli jawatankuasa baru Papita tidak menghadapi masalah. Hanya sedikit panas apabila isu peribadi dan masalah tidak faham dibangkitkan.

Bagi saya, sedikit cabaran dalam mesyuarat bagus kerana dapat memperbaiki kelemahan. Saya jelaskan matlamat dan perjuangan masa depan Papita. Saya mahu Papita lebih cemerlang dan lega jika dapat mengurangkan beban jika pengganti mengambil tugas saya pada masa depan. Orang mengatakan saya berkepentingan tetapi ia tidak mengatasi bidang tugas diamanahkan. Orang lain turut berpeluang mencari pendapatan dan saya ikhlas mahu menaikkan martabat Papita.

S: Apakah ada pihak mahu menjatuhkan Datuk dengan tuduhan penyelewengan wang dalam Papita?

J: Setakat ini tiada rasanya. Jawatan Presiden Papita kerdil berbanding Perdana Menteri yang lebih ramai musuh. Saya fokus, komited dan serius terhadap tugas. 400 ahli Papita dan artis mendapat manfaat melalui persembahan tarian dan solo hasil kerjasama Papita dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dua tahun lalu. Saya selalu memikirkan bagaimana meningkatkan kemajuan Papita walaupun pulangan kewangan tidak lumayan. Setiap bahagian dapat insentif dan ganjaran. Saya menggunakan budi bicara dan pendapatan disalurkan untuk banyak pihak. Saya rancang tetapi Tuhan menentukannya.

S: Apakah rancangan terdekat Papita?

J: Saya hantar kertas cadangan penganjuran Festival Muzik Etnik Antarabangsa kepada kerajaan Sabah, membabitkan penyertaan rantau Asia Tenggara, Asia Pasifik dan Afrika. Saya lobi sebelum Festival Filem Malaysia (FFM22) di Kota Kinabalu, baru-baru ini. Jika menjadi realiti, ia acara tahunan di Sabah. Saya mahu ketengahkan gabungan tarian dan muzik, dua elemen ini tidak boleh dipisahkan.

Bajet program RM3 juta, malah Ketua Menteri Sabah, Datuk Sri Musa Aman turut berminat. Sabah memiliki 32 etnik dan unik tetapi negeri lain boleh mengetengahkan keunikan negeri masing-masing bagi menggambarkan 1Malaysia. Kita kaya budaya, jadi turut menarik pelancong dan pembangunan bakat baru.

S: Mengapa mahu pertandingan kugiran diadakan dan mengapa ia keutamaan?

J: Saya mahu kreativiti asli. Kugiran intelek, boleh cipta lirik dan dendang lagu sendiri dan bukan main hasil kerja orang lain. Setakat ini, 60 kugiran serata Malaysia berminat. Format kugiran bebas pilih jenis muzik dan pilih lagu. Ia kesinambungan Rentak Juara RTM sebelum ini.

Cara itu, anak muda beriadah dan atasi gejala tidak sihat. Prasyarat agak ketat dan salah satu cara meningkatkan semula industri muzik kita yang suram. Papita cadang wujudkan kursus kugiran berbakat mendalami muzik dan faham nota muzik. Jadi, masa depan, karier kugiran terjamin. Mereka ada permintaan buat persembahan di hotel dan atau tempat eksklusif kerana muzik universal. Jika boleh, serapkan mereka ke dalam Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

S: Apakah kebajikan dilakukan Papita dan sikap profesional masih perlu diperbaiki?

J: Masalah tiada persefahaman sewaktu mesyuarat dan kelancaran mesyuarat terganggu kerana ada ahli bertanya perkara remeh dan peribadi. Saya jelaskan, setiap pertanyaan jika tidak puas hati. Wang digunakan bagi kebajikan hari raya, ahli sakit, khairat kematian dan elaun. Papita sedia kenderaan bagi kegunaan ahli hadiri mesyuarat dan program tertentu. Kita tidak boleh buat keputusan dalam keadaan emosi tidak stabil. Asal rasa tak puas hati luah tetapi tidak nampak apa tersirat. Saya sentiasa memegang kata-kata amanah Pengerusi Majlis Muzik Malaysia, Datuk A Rahman Hassan. Presiden mesti jujur dan ada inisiatif. Ada ahli berminat datang mesyuarat ambil elaun saja.

S: Apakah pengalaman memalukan Datuk sebagai presiden Papita?

J: Ditegur Sultan Perak dan Sultan Perlis sewaktu Program Malaysia Ku Gemilang. Salah seorang jawatankuasa Papita diberi amanah mengendalikan sistem bunyi memainkan lagu politik. Sultan Perak dan Sultan Perlis menegur kerana lagu dipaparkan bukan lagu Negaraku.

Ada pihak tidak puas hati apabila ditegur atas kesilapan itu. Jika kita hendak bagus, perlu boleh ditegur kerana perasaan pandai sentiasa berada dalam diri kita dan sukar mengakui kesilapan. Apakah kita mahu diberi tanggungjawab tetapi tidak peka?

S: Bagaimana perkembangan mewujudkan perkampungan artis di Melaka? Apakah sudah mencapai matlamat?

J: Ya, saya mahu wujudkan perumahan artis sejak tiga tahun lalu di Melaka. Sekarang permohonan tanah 25 hektar diluluskan awal tahun ini oleh kerajaan negeri Melaka melalui Yayasan Melaka membabitkan 212 unit banglo. Papita mahu memperkayakan sejarah Melaka, konsep itu ada di Bollywood dan Hollywood sebagai karya seni. Impian itu bukan untuk jangka masa pendek. Artis boleh membina rumah konsep tradisional Minang, Bandung, Melaka, Portugis atau Perancis, malah boleh dijadikan lokasi penggambaran pada masa depan.

S: Apakah kekuatan Papita sekarang?

J: Kekuatan? Semua ada, semua cukup cuma kita tak pandai bersatu padu, masing-masing bertelingkah dan jika begini, Papita tidak boleh kekal. Papita mendapat gambaran tidak baik, tiada hemah jika berpecah-belah. Perjuangan perlu sokongan, jangan buat tuduhan kerana boleh menghilangkan keyakinan orang terhadap kita. Pelapis mesti ada mentaliti betul, bukan berwawasan menjatuhkan orang atau wawasan selalu tidak puas hati jika tidak dapat seperti orang lain. Saya tidak nampak siapa pengganti, saya bimbang tiada pengganti. Saya harap orang mengambil alih cinta dan sayang kepada persatuan. Ada sifat tanggungjawab, boleh tegur dan tidak buat komplot.

S: Apakah Papita mendapat sokongan padu artis baru?

J: Ya, begitu menggalakkan. Mereka mahu rakam lagu dan cipta lagu baru. Rakaman baru boleh mengimbangi kemasukan artis luar seperti Indonesia. Peminat dapat pilihan dan artis dapat peluang rakam album dan masa depan lebih baik. Saya cari penggubah lagu, kugiran baru dan cuba rakam lagu baru terbaik sebanyak mungkin. Disiplin penting mendidik artis. Apa pandangan penonton atau peminat jika artis buat persembahan pakai singlet dan seluar bertampal ketika atas pentas? Jika hendak dihormati, mereka perlu ada contoh baik.

S: Harapan masa depan Papita? Mengapa masih belum pilih setiausaha dan bendahari?

J: Bangunan sendiri kerana Papita tiada bangunan sendiri sejak 1977. Sekarang menyewa di Stadium Bola Sepak KL dengan sewa berpatutan. DBKL banyak membantu menjayakan program Senandung Budaya sejak sembilan tahun lalu. Saya tidak mahu terburu-buru individu pilih, tangkap muat isi jawatan setiausaha dan bendahari.

Saya waspada kerana saya mahu orang berpengetahuan. Jika boleh, lelaki dan wanita muda menduduki exco. Mengikut perlembagaan, jawatan setiausaha kehormat dan bendahari dilantik Presiden mengikut Fasal 8 Undang-Undang Papita.



Related Profile

 M.Daud   Datuk Ahmad Nawab 
  Related Article
Sebak di pusara Seniman Agung
M Daud mahu pertahan jawatan
Konsert khas kenang pahlawan
Nostalgia Cinta Pelajar Kolej
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.