Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Harian Metro > BELASUNGKAWA
BELASUNGKAWA
Harian Metro | 24 Jun 2005


DILAHIRKAN pada 10 November 1935 di Singapura, awalnya Abdul Aziz Jaafar memang tidak menunjukkan sebarang kecenderungan atau minat ke arah bidang seni.

Sebagaimana anak-anak muda lain pada masa itu, Aziz lebih suka berkumpul dan melepak bersama kawan-kawannya.

Bapa saudaranya, Yusof B yang juga pengarah muzik di Shaw Brothers pada masa itu mengambilnya tinggal bersamanya serta mendidik dan mengajarnya bidang muzik.

Sepanjang berguru dengan Yusof B, anak kedua daripada sembilan beradik ini mampu menguasai notasi serta bermain saksafon dan clarinet dengan baik.

Kemahiran muzik yang diperolehinya itu tidak dipersiakan. Aziz kemudian menyertrai pancaragam Chand'ni'ratt bersama Wahid Satay dan Johari Salleh (sekarang Datuk).

Johari turut menyifatkan Aziz sebagai pemain saksafon yang cukup baik tetapi lebih berminat meneruskan kegiatan lakonan.

Bagaimanapun, sebelum bergelar hero filem Melayu, Aziz sebenarnya memulakan tugas di Shaw Brothers Film Studio sebagai kerani konti.

Ketika bekerja sebagai kerani konti itu, timbul minat untuk berlakon. Akhirnya peluang menjadi bintang filem terbuka untuknya selepas bertemu secara tidak sengaja dengan pengarah KM Baskaran (pengarah di Shaw Brothers).

M Baskaran melihat Aziz mempunyai kemampuan untuk menjadi seorang hero dan memberinya peluang berlakon dalam filem Hantu Jerangkong pada 1957 bergandingan dengan Hashimah Yon.

Aziz terus mendapat pelbagai tawaran berlakon selepas itu dan sepanjang pembabitannya dalam bidang itu, dia sudah membintangi lebih 30 filem.

Antaranya Gergasi, Matahari, Samseng, Batu Belah Batu Bertangkup, Panji Semerang, Dupa Cendana, Dandan Setia, Lela manja, Jeritan Batin, Jebak Maut, Nora Zain-Ajen Wanita 001, Putera Sangkar Maut, Pertarongan, Lubalang Daik, Batu Durhaka, Norlela serta Kipas Hikmat.

Aziz juga turut menyerlah sebagai pengarah menerusi filem Sumber Ilhamku pada 1980, Anak Sulung Tujuh Keramat (1982), Penentuan (1982) serta Wira Angkasa (1986).

Dalam pancaragam pimpinan P Ramlee pula, Aziz terkenal sebagai biduan utamanya. Banyak lagu bersama Panca Sitara yang sempat dirakamkan di piring hitam. Namun, lagu dendanganya sendiri yang cukup popular ialah Malaysia Baru ciptaan Kassim Masdor.

Kata wartawan veteran, Aimi Jarr, P Ramlee pernah mengatakan kepada Aziz bahawa hanya dia seorang saja yang boleh memakai kasutnya kerana kebolehannya menggubah lagu, bermain muzik, menyanyi dan berlakon.

Hubungan cinta Aziz dan Normadiah juga dikatakan bermula ketika Aziz menganggotai Panca Sitara. P Ramlee dikatakan berjaya menghidu keintiman mereka tetapi Aziz dan Normadiah bijak merahsiakannya dan tidak lama selepas itu mereka berkahwin secara senyap-senyap sekitar Oktober 1962.

Sepanjang mendirikan rumah tangga dengan Noramdiah, Aziz dikurniakan dua cahaya mata, Azlina Aziz dan Liza Aziz (kedua-duanya penyanyi). Arwah juga mempunyai tiga anak tiri, Syarifah Hasnor, Syed Ekhzan serta Martina Haim Hasan hasil perkahwinan Normadiah dengan suami sebelumnya.



Related Profile

 Aziz Jaafar 
  Related Article
Saloma bikin Aimi patah hati
Penangan anak Normadiah
Jelmaan Normadiah di DFP
Penghormatan buat Normadiah
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.