Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Berita Harian > Lagi buku berkaitan P Ramlee diterbitkan
Lagi buku berkaitan P Ramlee diterbitkan
Berita Harian | 25 Mar 2010


Oleh Akmal Abdullah

PADA Isnin lalu, sempena Pesta Buku Antarabangsa 2010 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, diselitkan acara pelancaran buku berkaitan P Ramlee. Ini bererti satu lagi kisah berkaitan Seniman Agung itu ditulis dan dibukukan. Kali ini ia berjudul 'filem-Filem P Ramlee' yang ditulis oleh wartawan veteran, Mustafa AR dengan seniman Datuk Aziz Sattar.

Ia diterbitkan dan pelancarannya pada Isnin lalu bersempena juga tarikh ulang tahun kelahiran P Ramlee, iaitu pada 22 Mac 1929. Bermakna jika ditakdirkan P Ramlee masih hidup, usianya kini sudah mencecah 81 tahun. Buku itu diterbitkan MZA Terbit Enterprise dengan kerjasama Pekan Ilmu Publications.

Buku ini menghimpunkan secara terperinci semua filem lakonan dan arahan P Ramlee ketika era studio Malay Film Productions (MFP) di Singapura bermula 1948 menerusi filem Chinta hinggalah kepada filem terakhirnya, Laksamana Do Re Mi (1973) terbitan Studio Merdeka Kuala Lumpur. Saya yang membelinya pada Isnin lalu sempat membeleknya dan mendapati kandungannya boleh dianggap baik dengan kajian yang agak menyeluruh dan terperinci. Buku ‘Filem-Filem P Ramlee’ bukan mengupas hal peribadi atau keistimewaannya sebagai insan seni tetapi lebih memperlihatkan sudut karyanya menerusi filem yang dilakonkan dan diarahkannya sejak dia berusia 19 tahun.

Analisis, penyelidikan dan kritikan dibuat dari sudut perkembangan lakonan dan kepengarahan P Ramlee sama ada dari segi kehebatannya, kelemahannya dan keunikannya. Meskipun, reka bentuk dan corak persembahannya kurang menarik tetapi cara olahan agak menarikd engan banyak gambar yang ada kalanya tidak pernah disiarkan dalam mana-mana buku sebelum ini. Sekurang-kurangnya menerusi buku Filem-Filem P Ramlee yang kini sudah dipasarkan, ia boleh menjadi rujukan bermanfaat untuk peminat dan mereka yang mengkaji mengenai filem Malaysia, khususnya karya P Ramlee.

Ini mungkin menjadi buku ke-10 berkaitan P Ramlee ditulis dan dibukukan. Ia memperlihatkan ada saja pihak yang akan mengambil inisiatif menulis berkaitan P Ramlee. Sebelum ini sudah banyak judul mengenai P Ramlee ditulis termasuk daripada anak Seniman Agung itu sendiri, Nasir P Ramlee (Allahyarham) menerusi tajuk Bapaku P Ramlee.

Sebelum ini juga rakan, kenalan rapat dan peminat setia P Ramlee turut pernah menulis pelbagai buku mengenainya seperti Datuk Abdullah Hussain, Tun Ahmad Sarji, Yusnor Ef, Ramli Ismail, Wahab Awang dan beberapa penulis lain. Kisah mengenai P Ramlee juga dibukukan dalam buku berkaitan dunia filem Melayu seperti tulisan Datuk Jamil Sulong, Aimi Jarr, Hamzah Hussein serta buku koleksi himpunan esei tulisan Salleh Ghani (Allahyarham). Sesuai dengan kedudukannya yang tinggi sebagai seniman terhebat yang lahir di negara ini, cerita dan kisah P Ramlee tidak akan habis dipugar dan diselongkar, sama ada berkaitan peribadi mahupun kerjaya seninya. Ia membuktikan P Ramlee itu terus ‘hidup’ sepanjang zaman dan karyanya juga terus hidup apabila generasi baru yang salih berganti tetap meraikan karya filem dan muziknya.

Apabila begitu bersungguh diberikan terhadap karya P Ramlee hingga ramai individu sanggup menulis dan membukukan mengenainya, tentulah P Ramlee memang seorang seniman yang cukup istimewa. Keistimewaan inilah yang harus dijadikan inspirasi kepada penggiat seni zaman sekarang untuk memperlihatkan bagaimana P Ramlee berkarya hingga karyanya itu memberi kesan mendalam kepada masyarakat dan terus disebut-sebut meskipun beliau sudah 37 tahun meninggal dunia.

Malah, kehebatan P Ramlee bukan saja dikagumi di negara ini tetapi melewati negara lain di Nusantara bahkan dikenali di benua Eropah dan Amerika. P Ramlee berkarya bukan sekadar untuk bangsanya tetapi ia boleh berkongsi dengan bangsa lain meskipun kisahnya yang dipaparkan kebanyakannya berkaitan isu sosial dan pemikiran Melayu.

Masyarakat kita bukan sengaja untuk mengangkat P Ramlee kerana mahu menunjukkan bangsa kita ada insan seni yang hebat tetapi realitinya memang P Ramlee adalah insan seni yang hebat hinggakan sampai kini tidak ada anak seni lain yang boleh menyamai atau menandingi kehebatannya sama ada dalam filem dan muzik secara serentak.

Sebab itu, penerbitan buka mengenai P Ramlee walaupun sudah banyak kali diterbitkan, tetapi setiap buku baru dihasilkan mengenai Seniman Agung ini, akan ada banyak petanda dan tanda baru yang boleh dijadikan pengetahuan dan rujukan. Fakta dan cerita yang dipapar dan didedahkan itu akan memberi nilai tambah untuk kita menilai dan menghaytai manusia bernama P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih.

Kita juga berharap, selepas ini akan ada beberapa lagi buku berkaitan P Ramlee yang memfokus kepada kajian ilmiah dan berunsur akademik menerusi karya filem dan muziknya. Ini juga akan menjadikan karyanya lebih dilihat elit dan berprestij dengan karya hebat anak seni di luar negara seperti mana tokoh-tokoh filem di Jepun, India, China mahupun di benua Eropah dan Amerika.

Kisah P Ramlee memang tidak pernah menjemukan bagi mereka yang bijak menghargai dan meminati kerjaya seni insan istimewa ini. Lebih banyak buku dihasilkan mengenai diri beliau, maka lebih bertambah kukuh kenangan dan pengiktirafan terhadap Allahyarham. Dalam pada itu, adalah wajar juga ada penulis lain tampil untuk menerbitkan buku berkaitan tokoh filem dan muzik lain seperti Datuk Sudirman Haji Arshad. Kita juga ada banyak lagi tokoh lain dalam bidang perfileman yang boleh diangkat menerusi pengiktirafan melalui penerbitan buku sama ada berkonsep penyelidikan karya, biografi atau rakaman nostalgia.



  Related Article
Bukan P. Ramlee seorang saja
Filem sebagai perakam zaman
Marmar Itali untuk pusara P Ramlee
Di Sebalik Misai A.Galak
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.