Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Berita Harian > Filem panggung wayang
Filem panggung wayang
Berita Harian | 22 Jul 2010


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Lagenda Budak Setan ajak lebih ramai penonton ke pawagam

FILEM drama cinta Lagenda Budak Setan mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya menarik ramai penonton ke pawagam. Sedangkan, tidak banyak filem cinta yang ditayangkan sebelum ini, mampu mencatat kejayaan membanggakan dari segi kutipan.

Sehingga hujung minggu lalu, filem arahan Sharad Sharan terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Tarantella Pictures itu dikatakan sudah pun membuat pungutan kasar kira-kira RM4.5 juta sejak ditayangkan pada 3 Jun. Filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Akhadiat Akashah berkenaan dilakonkan Farid Kamil, Lisa Surihani, Que Haidar, Shiqin Kamal, Nur Fazura, Sheila Mambo dan Raja Farah.

Berdasarkan sambutan baik diberikan peminat, filem terbabit bagai menjawab persoalan yang berlegar-legar selama ini, apakah filem drama percintaan juga sebenarnya berupaya untuk menarik orang ramai ke panggung wayang. Sharad membuktikan, dengan mempersembahkan filem yang memenuhi kriteria diinginkan penonton, filem cinta juga mampu laris di pasaran.

Begitupun, Lagenda Budak Setan bukanlah filem sempurna sifatnya, seperti diakui Sharad serta ahli panel majlis Diskusi Filem Tempatan: Lagenda Budak Setan yang berlangsung di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks FINAS, Hulu Klang, baru-baru ini. Namun begitu, ia hadir tepat pada waktunya untuk sama-sama membantu meningkatkan jumlah penonton filem tempatan.

Kata perantara majlis itu, Dr Mahadi J Murat, Lagenda Budak Setan sememangnya sebuah filem bersifat ‘panggung wayang’ dengan kisah cinta tiga segi yang berjaya mengumpan penonton membeli tiket. Jika selama ini filem yang diangkat dari novel seperti Jogho, Langit Petang dan Ranjau Sepanjang Jalan kurang memberangsangkan sambutannya, kini keadaan itu sedikit berubah apabila novel popular tahun 80-an dijadikan filem.

"Begitupun, apabila diangkat ke filem, ia tidak lagi boleh dilihat sebagai sebuah novel. Filem dan novel ialah dua medium berbeza bentuknya. Lalu tidak adil untuk menilai sesebuah filem dengan menggunakan penilaian terhadap novel. Filem dipersembahkan dengan menggunakan bahasanya sendiri, begitu juga dengan buku cerita," katanya.

Sudah tentulah perbandingan antara kedua-duanya tidak dapat dielakkan apabila naskhah popular seperti Lagenda Budak Setan dipersembahkan dalam bentuk filem. Ini diakui penulis novel itu sendiri. Walaupun pada dasarnya dia cukup teruja apabila novel yang dihasilkan 25 tahun lalu akhirnya muncul dalam bentuk filem, tetapi pada masa yang sama Ahadiat kerisauan, jika nasib filem itu sama dengan filem adaptasi yang lain, yang kurang menambat perhatian peminat.

"Apabila saya menontonnya, saya jadi bimbang mengenangkan reaksi pembaca novel itu yang sebahagiannya sudah menghafal skripnya. Saya sedar, sebagai filem, tak mungkin kita dapat memaparkan 100 peratus kisah sebagaimana yang ditulis dalam novel. Filem barat sekalipun gagal untuk menterjemahkan novel secara sepenuhnya ke layar lebar.

"Sebagai penulis, saya teruja ia diangkat filem. Saya cuma risaukan tindak balas daripada pembaca tegarnya. Ketika yang sama, saya menyukai gaya sinematografi dan muzik filem ini, yang berjaya menyentuh hati," kata Ahadiat.

Penulis itu juga berkata, dia sendiri tidak boleh berpuas hati dengan adaptasi yang ditunjukkan Sharad. Tetapi, amat memahami tuntutan filem, sebagaimana ketika mereka menukar cerita asal Kashah membuat kajian di luar negara dengan membawanya jauh ke kawasan pedalaman. Turut mempersoalkan logik kajian dijalankan, Ahadiat tetap percaya kelemahan yang didapati dalam filem ini boleh diperbaiki dalam filem seterusnya.

Sharad pula turut mengakui betapa sukar untuk dia menjadikan novel setebal 500 muka surat itu ke filem yang tempoh penayangannya tidak boleh melebihi dua jam. Bagaimanapun, dengan mengetengahkan elemen drama, kisah yang dinamik, karakter yang menarik, serta disokong teknik penggambaran yang baik, filem itu berjaya juga menambat hati peminat. "Bahkan, kami sudah menerima banyak permintaan untuk melihat filem ini mengembara ke negara luar seperti Perancis dan Jerman," katanya.

Paling penting, menurut pengarah itu, dia sudah pun mempelajari sesuatu daripada kesilapan lalu, ketika menghasilkan Diva dan Tipu Kanan Tipu Kiri. Katanya, kini dia tidak lagi mencampurkan adukkan kandungan Malaysia dan Indonesia, sebaliknya 100 peratus isi kandungan Lagenda Budak Setan ialah cerita orang Melayu.

Mengenai beberapa watak yang dilihat kurang jelas latar belakangnya, Sharad menjelaskan, sesetengah babak tidak dapat dimasukkan kerana dia mahu menghasilkan filem yang mempunyai durasi tidak melebihi 100 minit. Dia tidak mahu penonton keresahan apabila terlalu lama berada dalam pawagam.

"Saya percaya, jika sesebuah filem itu membuatkan penonton tertanya-tanya, mereka akan kembali menontonnya buat kali kedua atau ketiga. Kita harus membuatkan mereka berasa ‘dahaga’, untuk membolehkan menontonnya semula bagi mendapatkan kepuasan," katanya.

Sharad tidak lupa memuji barisan pelakonnya yang dianggap berjaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Manakala Farid sendiri memaklumkan kepadanya betapa lakonannya kian berkembang menerusi pembabitan dalam filem berkenaan.

Sementara itu, Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar, melihat kepentingan filem popular sebegini dihasilkan untuk membantu meningkatkan jumlah penonton filem Melayu ke pawagam. Bagaimanapun, kandungan filem popular itu sendiri seharusnya turut dijaga.

"Jika Lagenda Budak Setan dihasilkan 25 tahun lalu, mungkin sambutannya lebih hebat. Kini penonton sudah didedahkan filem yang datang dengan plot berbagai-bagai. Rasanya peminat boleh meneka perjalanan cerita, walaupun bagi penonton yang belum membaca novel asalnya.

"Masih wujud elemen stereotaip dalam filem ini seperti kekurangan perincian dalam kehidupan di kolej. Contohnya, penonton tidak tahu apakah yang dipelajari Kashah dan Ayu. Tiada babak yang menunjukkan pembelajaran mereka dalam kelas.

Perkara sebegini sering berlaku dalam filem Melayu. Begitu juga dengan latar belakang karakter. Watak Azmi umpamanya, walaupun dituduh curang, namun sedikit pun tidak ditunjukkan dengan kecurangan Azmi terhadap Ayu.

"Jadi, pada pandangan saya, Lagenda Budak Setan bukanlah filem yang berjaya melakukan anjakan paradigma ke atas penghasilan filem tempatan. Kekurangan yang dilihat menerusi filem ini, banyak kali berlaku dalam filem Melayu lain. Filem ini juga mungkin lebih berkesan seandainya dua watak utama tidak dilakonkan oleh Farid dan Lisa. Penonton sudah acap kali menonton gandingan mereka," katanya.

Zainuri bagaimanapun memuji lakonan Que Haidar. Baginya, lakonan aktor itu cukup hidup, membolehkan penonton melihat betapa dia seorang lelaki yang terperangkap dalam perasaan sendiri, antara kasih sayang terhadap Ayu serta sikap panas baran yang sukar dikawal.



Related Profile

 Lagenda Budak Setan 
  Related Article
Demam adaptasi novel!
Mereka Kejar Mutu
Budak Setan Senakal Ali Setan?
Epilog: Filem 2 Alam Tak Minta Kelulusan LPF?
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.