Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Berita Harian > Epilog: Menang di festival luar tidak semesti bagus
Epilog: Menang di festival luar tidak semesti bagus
Berita Harian | 13 Aug 2009


Oleh Akmal Abdullah

KEPUTUSAN Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 akhirnya diketahui pada malam Sabtu lalu. Keputusan itu menterjemahkan imej sebuah festival filem nasional yang ada ciri dan corak penilaiannya tersendiri. Semua harus akur pada penilaian panel juri yang dipilih penganjur dan tentunya ramai gembira dengan keputusan yang diumumkan. Namun, seperti biasa tentu ada sesetengah pihak atau individu tertentu yang akan mempersoal keputusannya kerana tidak memenuhi kehendak peribadi dan pandangan diri mereka. Itu adalah hak masing-masing.

Ada juga pihak yang mempertikai sama ada dengan cakap-cakap di belakang dan terbuka mengenai rasa tidak puas hati mereka. Ada yang marah dan persoal dengan membandingkan filem yang sudah dan pernah beberapa kali menang atau menyertai festival filem di luar negara (yang sering dianggap festival antarabangsa dan kononnya semua festival asing itu berprestij) tidak menang, malah ada karya yang tidak disenaraikan pun ke peringkat akhir seperti dalam kategori filem digital.

Hakikatnya, FFM tidak akan sama dengan festival di luar negara. FFM adalah festival di negara kita sendiri yang ada cara, ciri, pegangan, nilai, isma, acuan, semangat dan konsep tersendiri termasuklah mengenai penilaian yang dibuat terhadap filem yang bertanding. Festival luar juga sama, ada motif, agenda dan sebab tersendiri kenapa ia dianjurkan. Jika tidak, takkanlah di dunia ini ada hampir 400 festival filem! Maka janganlah kita begitu ghairah filem yang sudah atau menyertai festival filem asing sudah boleh dianggap hebat belaka mengikut pandangan orang luar semata-mata, lalu kita menjadi tukang angguk saja? Persepsi orang luar yang menjadi juri di festival asing tidak akan sama dengan corak penilaian dan pemikiran orang kita yang menjadi juri. Kalau ada, ia adalah kebetulan kerana cara pemikiran sama tetapi corak keseluruhannya akan berbalik kepada pemikiran majoriti masyarakat di negara ini sendiri.

Hal ini sama juga dengan maksud apakah kerana ada 10,000 orang yang diupah dan sengaja membuat demonstrasi itu menggambarkan suara majoriti rakyat?
Kita tidak perlu beritahu dan memberi contoh filem apa tetapi hakikatnya semua filem yang sering menang di festival filem luar negara sering tidak mendapat sokongan masyarakat penonton yang rajin ke pawagam. Selalunya filem mereka tak dapat masuk pawagam, tak dikenali dan ada juga sambutan yang cukup mengecewakan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tidak ada filem yang menang di luar negara menjadi bualan hangat dan boleh meletup di pawagam, apatah lagi dibanggakan oleh majoriti rakyat. Malah, ia juga tidak dibanggakan dalam erti kata sebenar oleh semua pihak dalam industri filem kita sendiri. Kenapa hal ini berlaku?

Pihak yang sering memuji dan memuja seseorang pengkarya itu juga tidak harus memaksa orang lain untuk menerima karya yang memenuhi cita rasa mereka. Majoriti yang tidak menyukai sesuatu karya itu jika diberi pujian melambung atau dipaksa untuk menyukainya, mereka tidak boleh menerimanya selagi ada sebab yang membuatkan mereka tidak dapat untuk sama meraikan filem yang menang di luar negara itu. Hal sama jugalah yang harus diterima terhadap karya hebat P Ramlee yang dulunya juga pernah menang di luar negara. Namun, sekurang-kurangnya, karya P Ramlee mencipta fenomena luar biasa yang realistik dan lebih berpijak di bumi nyata, diterima ketika itu sebagai filem untuk majoriti rakyat Malaysia bukan saja pelbagai kaum tetapi pelbagai peringkat usia, taraf sosial serta pendidikan, kelas, pegangan politik dan status hidup. Mudah cakap, karya Seniman Agung itu boleh diterima baik majoriti rakyat Malaysia kerana karyanya bijaksana dan lebih dekat di hati semua tanpa elemen provokasi atau sensitiviti.

Namun, situasi sekarang berbeza. Banyak filem yang menang di festival luar bukan lagi kayu ukur untuk boleh diterima baik majoriti rakyat Malaysia. Golongan yang menyukainya tidak ramai dan jika melihat sambutan di pawagam pun filem berkenaan nyata sering gagal di pasaran. Ada orang kata, filem yang kononnya menunjukkan imej pelbagai kaum itu adalah filem Malaysia. Itu persepsi sekadar propaganda. Kalau ada kisah cinta mengenai dua anak muda berlainan bangsa maka dilabelkan itulah filem Malaysia yang hebat. Pemikiran sempit inilah yang sedang dimomokkan kepada masyarakat yang sebenarnya ramai pun tidak menonton filem sebegitu apabila ditayangkan di pawagam sesudah ia dicanang menang di festival luar negara.

Perlu ingat, ada karya malah kebanyakannya yang dihantar menyertai festival luar tidak langsung menerusi tapisan atau pemerhatian pihak yang bertanggungjawab mengenai isi kandungannya. Sebab itu ada filem yang cuba memperlekeh negara, mempersendakan agama Islam, memberi contoh keliru mengenai imej masyarakat negara ini, mempromosikan bekas pengganas komunis dan mengambil contoh realiti terpencil yang tidak diterima majoriti masyarakat ini termasuk aspek budaya, agama dan pemikiran dianggap sebagai filem yang berani sedangkan hakikatnya ia mengundang rasa marah pihak lain.

Ingat, filem adalah filem. Namun, filem bukanlah kitab suci. Seni filem bukanlah lesen untuk membolehkan mana-mana karyawan untuk membuat apa saja selagi tidak bertanggungjawab untuk masyarakat, agama, bangsa dan negaranya. Kita juga tidak boleh melihat filem dari sudut teori filem klasik Barat semata-mata atau merujuk kepada pandangan falsafah atau hujah pengkritik asing hanya kerana mereka pandai dalam teknik dan ilmu filem. Filem juga tidak boleh lagi berkiblatkan bentuk seni semata-mata kerana filem tetap dilihat dalam segala penjuru dan pelbagai sudut pemikiran. Ia ada kepentingan masing-masing kepada golongan tertentu. Semua ini tidak salah. Filem boleh dilihat dan dibincangkan oleh sesiapa saja waima daripada seorang tukang sapu sampah, orang gaji, pemandu lori, guru sekolah, pelajar, makcik jual nasi lemak hinggalah ke peringkat seorang ustaz, pensyarah, pemimpin kerajaan, pejuang budaya mahupun pemimpin masyarakat dan Perdana Menteri. Masing-masing akan ada pandangan dan penilaian tersendiri.

Soalnya, apa itu filem yang baik? Apakah ia dianggap terbaik untuk rakyat dan negara malah harus dibanggakan kalau sudah menang di festival luar? Filem yang baik itu mengikut ukuran apa? Ia adalah subjektif. Golongan yang berpegang pada nilai dan mentaliti tertentu akan menganggap sesuatu filem itu sudah bagus jika kena pada pegangan mereka. Ia sudah dianggap baik tetapi bagaimana golongan lain yang berpegang pada nilai, mentaliti dan idealisme lain? Kalau filem itu sudah baik, apakah ia cuma aspek lakonan, skrip, visual atau pengarahan, atau mungkin memenuhi konsep filem sebagai sebuah ‘art form’ yang diagung-agungkan oleh penghafal teori filem.

Filem tetap akan dinilai dari segi isi kandungannya? Corak persembahan dan kandungan yang disampaikan itu meskipun ia bagus pada golongan tertentu tetapi ia mungkin tidak disenangi oleh golongan lain yang mungkin lebih ramai. Hal sama juga kalau hendak bercakap soal yang ada mesej kekeluargaan, persahabatan, kasih sayang mahupun kemanusiaan. Begitu juga filem mengenai cinta pasangan kekasih dua bangsa berbeza, ia bukan idea baru malah sudah lama dan bersepah disajikan dalam drama TV dan filem sebelum ini.

Semua ini akan diukur menerusi pegangan dan nilai yang ada pada pemikiran dan jiwa masing-masing. Terlalu hebat sekalipun dari sudut pengarahan dan teknikal sesebuah karya itu akan dilihat pada kandungan dan nilai yang dibawa terutama aspek pemikiran dan pegangan seseorang. Ia mungkin tidak diterima baik oleh majoriti dari segi pemikiran dan nilai tetapi dari sudut lain ia mungkin juga boleh diterima sedikit sekadar bahan hiburan kalau ada elemen jenaka. Dalam keghairahan kita memperkata dan memuji mengenai cerita berkaitan dunia wayang, usahlah sampai memaksa masyarakat untuk sama-sama bermain wayang... Kata orang, ayam hitam terbang malam, siapa yang tahu berdebus bunyinya?



Related Profile

 Nasir P.Ramlee 
  Related Article
Cabaran terhebat Shuhaimi Baba
5 jam kepada 90 minit
Shuhaimi puas hati tunai janji
Tabung Amanah P. Ramlee ditubuhkan
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.