Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Berita Harian > Epilog: Filem kenegaraan, sejarah harus jadi produksi wajib
Epilog: Filem kenegaraan, sejarah harus jadi produksi wajib
Berita Harian | 08 Jul 2010


Oleh Akmal Abdullah

KELMARIN, ketika rombongan pengurusan kanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengadakan kunjungan hormat terhadap pengurusan editorial The New Straits Times Bhd (NSTP) di Balai Berita, Kuala Lumpur, antara topik yang dibangkitkan ialah mengenai keperluan industri filem di negara ini menerbitkan filem bercorak sejarah dan kenegaraan secara konsisten.

Ia disuarakan oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid yang berasakan perlu ada banyak filem bercorak kenegaraan seperti mengangkat perjuangan dan jasa tokoh silam serta apa saja berkaitan kepentingan negara. Antara alasan diberikan Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim ialah kesukaran produser untuk buat filem bercorak sedemikian kerana selain masalah bajet besar ia juga menghadapi masalah pasaran kerana sukarnya mendapat sambutan daripada penonton.

Seniman, Datuk Mustapha Maarof yang turut bersama dalam kunjungan itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah FINAS, turut akui sewajarnya filem berkonsep sejarah dan kenegaraan dihasilkan dengan sekurang-kurangnya setahun satu judul supaya negara mempunyai khazanah filem bermutu untuk dimanfaatkan rakyatnya. Namun, FINAS tetap berusaha menghasilkan sendiri dokumentari berkaitan kenegaraan seperti judul Becoming A King, Fight Master: Silat, Smart Tunnel dan Spellbound dan Jean Perera: The Beauty Queen Murder.

Jawapan Mohd Mahyidin ada benarnya seperti terbukti beberapa judul filem cereka berkaitan sejarah dan kenegaraan seperti Embun, Paloh, Puteri Gunung Ledang dan Leftenan Adnan gagal mendapat sambutan baik malah ada yang boleh dianggap kantoi di pawagam, begitu juga filem yang pernah dihasilkan Datin Paduka Shuhaimi Baba - 1957: Hati Malaya juga gagal mendapat sambutan besar khalayak yang rajin ke panggung wayang.

Sebenarnya, industri filem di Malaysia tidak menghadapi masalah kepenontonan. Cuma ia menghadapi masalah tidak konsisten dari segi sambutan terhadap filem yang memasuki pawagam. Jika dilihat pada perangkaan mereka yang berkunjung ke pawagam, untuk filem tempatan saja, sejak Januari 2010 hingga Mei lalu, direkodkan sebanyak 2.9 juta penonton membeli tiket di pawagam seluruh negara untuk menonton filem terbitan Malaysia sendiri. Ini bererti sambutannya bagus dengan purata hampir 600,000 penonton menyokong filem Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Jika diambil kira pula jumlah keseluruhan mereka yang pergi ke pawagam menonton filem import seperti filem Hollywood, jumlahnya lagi besar iaitu seramai 9.56 juta penonton dalam tempoh masa sama, selain filem berbahasa Mandarin dari Hong Kong, China, Taiwan termasuk Korea memperlihatkan ada sokongan 4.59 juta penonton dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Filem dari India dan lain-lain negara pula ditonton hampir 1.4 juta penonton.

Ia bermaksud, rakyat Malaysia serta mereka yang tinggal di negara ini memang boleh dianggap kaki wayang sebab sepanjang lima bulan tahun ini dari Januari hingga Mei lalu, hampir 18.5 juta penonton membeli tiket. Jumlah ini bersamaan hampir dua pertiga daripada jumlah rakyat Malaysia! Ertinya, filem cereka di pawagam tetap mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia cuma mestilah pengisian dan filem itu disukai untuk menarik mereka ke pawagam.

Alasan produser takut nak buat filem sejarah sebab tidak laku, ia boleh diterima secara mudah kerana kita mengambil kira kepentingan produser filem adalah orang berniaga. Mereka tentu mengharapkan pulangan baik atau keuntungan hasil pelaburan besar menerbitkan filem apatah lagi untuk buat filem kenegaraan dan bertemakan sejarah bukannya mudah, banyak cabaran getirnya terutama dari segi penyelidikan, pembikinan dan mutu produksi.

Apapun alasannya sekarang, kita sudah kesuntukan masa. Negara kini sedang menghadapi krisis yang pelbagai termasuk politik, semangat cintakan negara dan patriotik di kalangan generasi muda yang semakin menghakis. Ramai yang sudah menjadi rakyat buta sejarah. Negara akan menghadapi generasi yang tidak kenal sejarah bangsa sendiri. Kementerian Pelajaran sudah mula sibuk merancang untuk mewajibkan mata pelajaran sejarah di sekolah rendah. Usaha untuk meningkatkan semangat belia untuk sedar mengenai kepentingan mengundi untuk Pilihan Raya Umum sedang dijalankan.

Pengabaian terhadap erti Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan tidak difahami dan menyedihkan institusi raja mula diperkotak-katikkan pihak tertentu. Perlembagaan mula dipermainkan dengan hujah politik dangkal kononnya atas nama kebebasan, hak asasi dan demokrasi melulu. Lebih menakutkan ada puak tertentu yang bersikap cauvinis untuk jadikan Malaysia sebagai negara republik. Semuanya kerana kegagalan kita menghayati sejarah negara sendiri dan belajar dari sejarah silam untuk membina bangsa Malaysia yang lebih kuat. Perpaduan yang ada belum kuat kerana masing-masing cuba menjadi hero kaum sendiri.

Atas sebab itu, sudah tiba masanya Kementerian yang menjaga kepentingan filem berbuat sesuatu. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan harus memulakan langkah berani untuk merancang strategi jangka pendek dan jangka panjang menghasilkan banyak filem cereka yang berkisar aspek kenegaraan dan sejarah supaya filem dilihat membantu untuk membantu negara. Dalam entitinya sebagai produk hiburan, imej filem itu sendiri boleh dimanfaatkan untuk lebih mudah, santai dan difahami mengenai erti kenegaraan dan sejarah.

Demi kepentingan negara dan bangsa, sudah tiba masanya juga kerajaan menerusi kementerian terbabit berani menyediakan peruntukan besar supaya perancangan menghasilkan filem cereka berkaitan sejarah dan kenegaraan dihasilkan segera. Kita ada ramai tenaga kerja dan orang kreatif yang bijak untuk menghasilkan filem bercorak sedemikian, tetapi sayangnya mereka dipinggirkan kerana tidak ada produser yang berminat dan tidak ada usaha daripada pihak kerajaan untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka.

Kita tidak boleh memberi alasan kerana bajet tidak ada sedangkan kita boleh berbelanja mewah untuk buat macam-macam program yang sekadar untuk kemeriahan dan glamor selain pelbagai festival yang sekadar untuk berpesta termasuklah Festival Kuala Lumpur! Gunakan wang rakyat untuk dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk filem sebegini. Kita malu kerana ketandusan filem bercorak sedemikian sedangkan negara jiran sedang ghairah untuk buat filem kenegaraan mereka. Jika bangsa Cina dan India boleh melihat filem sejarah mereka dari Cina dan India, tetapi orang Melayu dari Tanah Melayu pula nak tengok visual filem mengenai sejarah mereka dari mana? Kita juga boleh hasilkan filem yang memaparkan sejarah kewujudan pelbagai kaum di negara ini supaya gagasan 1Malaysia lebih difahami dan dihayati.

Kerajaan harus berani untuk buat tindakan menghasilkan banyak filem kenegaraan supaya ada khazanah yang boleh dirujuk untuk generasi sekarang dan akan datang. Jangan paksa dan tunggu produser untuk buat filem sebegini. kerajaan kena prihatin dan mengambil inisiatif. Kementerian yang diterajui Datuk Seri Dr Rais Yatim kenalah segera berbuat sesuatu sebelum terlambat, sebelum mereka dipersoalkan oleh generasi akan datang! Kata orang, biar miring jangan sampai tertelangkup...



Related Profile

 Datuk Mahyidin Mustakim 
  Related Article
Vikingdom Dapat Perhatian Antarabangsa
Bersama Bintang Dapat Sambutan
Mulling On Horror And Action Awards
Dana Kreatif RM200 bukan percuma
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.