Cinema Malaysia
You are here : Main  > Newspaper Clippings >  Berita Harian > Cabaran, emosi duyung jelita
Cabaran, emosi duyung jelita
Berita Harian | 31 Jan 2008


Maya Karin

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

Maya Karin akui filem arahan Prof A Razak ajar erti kesabaran

TANPA berselindung Maya Karin mengaku dia berdepan cabaran fizikal paling hebat ketika menjayakan penggambaran filem Duyung sekitar Mei tahun lalu. Dia rimas dan tidak selesa apabila mengenakan sut duyung, selama lapan hingga 15 jam sehari, selama 12 hari. Apatah lagi dia terpaksa bangun seawal jam 4 pagi, semata-mata untuk mengenakan pakaian khas itu.

Untuk memakainya saja, selama empat jam diperlukan dan bagi menanggalkan kostum berkenaan, beberapa jam lagi pasti dalam tangan. Kata Maya, apabila sebahagian besar badannya digam, tentulah proses menanggalkannya perlu berhati-hati, bimbang terkopek kulitnya sekali.

Namun digagahkan juga diri dan kuatkan hati bagi menjayakan filem komedi pertama lakonannya sejak 2001. Kali akhir wanita cantik dan berbakat ini beraksi dalam filem ringan ialah tujun tahun lalu apabila dia membintangi filem No Problem arahan Z Lokman.

"Memang saya tidak selesa dengan kostum Duyung. Ia bukan saja berat, merimaskan dan buat saya terasa gatal-gatal, pakaian itu juga memerlukan saya berkurung berjam-jam. Ada ketika saya rasa macam hendak menjerit saja. Lalu, pada ketika begitulah saya memerlukan segala kesabaran. Saya mencari zen sendiri, untuk menenangkan diri," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran novel dan album runut bunyi filem lakonan terbarunya itu di The Gardens, baru-baru ini.

Menurut aktres kacukan Eropah dan Asia ini, walau perit bagaimana sekalipun, namun Duyung tetap memberikannya pengalaman baru dalam lakonan.

"Daripada proses pembikinan filem ini, saya banyak belajar erti kesabaran, bagaimana untuk fokus kepada kerja serta menimba pengalaman berlakon komedi. Saya banyak memerhatikan bagaimana pelakon lain seperti Saiful Apek dan Yasin melakukannya. Daripada situ, sedikit sebanyak saya mendapat petua untuk berlakon gaya komedi pula," katanya.

Katanya, watak duyung itu sendiri tidaklah mencabarnya dari segi emosi, sebaliknya daya tahan fizikalnya yang diuji.

"Saya sebenarnya jadi risau apabila mengenangkan Duyung sebuah filem komedi. Jika duyung itu sendiri watak yang serius, mungkin ia lebih mudah kerana saya sendiri banyak membabitkan diri dalam filem berat. Syukurlah, apabila penggambaran dimulakan, ia tidaklah seberat yang saya sangka.

"Saya juga berdebar-debar apabila digandingkan dengan Apek. Semua orang tahu dia pelakon popular yang memang pakar dalam bidang komedi. Dia jelas sekali tahu apa yang dia lakukan. Begitupun saya seronok dan bertuah dapat berlakon di sampingnya," ujar Maya.

Ditanya apakah dia merujuk kepada mana-mana filem berkaitan duyung sebelum turun ke lokasi, Maya berkata, dia hanya sempat menonton filem The Little Mermaid, animasi tahun 1989 keluaran Disney.

"Memang saya teringin untuk menonton Daryl Hannah membawakan watak duyung dalam Splash (1984). Tetapi saya tidak dapat mencari filem berkenaan. Jadi, hendak tak hendak, saya tengok filem kartun sajalah," kata Maya.

Biarpun tanpa banyak rujukan, Maya dipuji pelbagai pihak kerana berupaya memberikan renangan yang baik dan cantik sewaktu penggambaran arahan Prof A Razak Mohaideen itu dilakukan. Dia sendiri berterima kasih kepada orang tuanya yang mendorong dirinya memasuki kelas renang secara serius, ketika berusia tujuh hingga 11 tahun.

"Ketika zaman kanak-kanak di Indonesia dulu, saya perenang yang kompetitif. Setiap minggu, saya berlatih selama tiga atau empat jam. Nampaknya, kemahiran ketika kecil dulu ada juga faedahnya untuk saya hari ini," cerita pelakon yang juga duta kepada jam terkemuka, Tag Heuer.

Mengenai projek lakonan terbaru, Maya memberitahu, dia belum lagi menandatangani sebarang kontrak lakonan setakat ini. Paling akhir, dia ditawarkan membintangi filem Stamp, arahan Kabir Bhatia. Namun dia terpaksa melepaskan peluang keemasan beraksi di bawah pengarah terbabit kerana percanggahan jadual kerja. Pada masa yang sama, Maya terikat dengan jadual kerja jenama yang diwakilinya.

"Tidak ada rezeki nampaknya kali ini untuk saya berlakon di bawah arahan Kabir," kata Maya yang menafikan dirinya diikat Pesona Pictures berikutan kekerapannya beraksi dalam filem terbitan syarikat produksi berkenaan.

Jelas Maya, di samping watak yang bagus, dia sering kali berlakon bersama produksi terbabit kerana Pesona memastikan pelakonnya menjalani sesi latihan sebelum penggambaran dimulakan. Dan dia pula memang berasakan pengalaman mengikuti sesi latihan cukup berguna, demi mengejar peningkatan dan skil lakonan lebih tinggi.

Sementara itu, pelakon ini nyata gembira dengan pencalonan semula dirinya ke peringkat akhir kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007. Pada ABPBH2006, Maya terlepas peluang mempertahankan gelaran yang dimenangi dua tahun lalu apabila tiada filem lakonannya menemui penonton sepanjang tahun itu.

Waris Jari Hantu, 1957: Hati Malaya dan Anak Halal. Mulai 6 Mac ini pula, Duyung yang mengangkat dirinya sebagai pelakon utama akan menemui peminat di pawagam seluruh negara.

INFO
Temui Maya siri jelajah filem Duyung di tempat berikut:


  • Growball, Kota Kinabalu, Sabah - 2 Februari
  • Star Cineplex, Kuching, Sarawak - 3 Februari
  • Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan - 17 Februari
  • Selayang Mall, Batu Caves, Selangor - 23 Februari
  • Berjaya Times Square, Kuala Lumpur - 2 Mac
PROMOSI: Maya dan Apek menujukkan novel sertaalbum runut bunyi Duyung yang kini berada di pasaran


Related Profile

 Duyung   Maya Karin   Prof Madya A. Razak Mohaideen 
  Related Article
Lakonan Fokus Utama
Legenda Karak Versi KRU
Ratu ubah lokasi
Mampukah 2 Hati 1 Jiwa pecah panggung
Comments

Portal ini diselenggarakan oleh I-INSAN MULTIMEDIA SDN BHD . 2012 All Rights Reserved.